Pepatah melayu ada mengatakan βbiar mati anak, jangan mati adatβ yang jelas membawa maksud bahawa adat sangat dititikberatkan oleh masyarakat Melayu. Dan salah satu perkara yang benar-benar melambangkan adat Melayu ialah Perkahwinan Melayu. Bermula daripada majlis merisik, meminang, bertunang sehinggalah tibanya majlis perkahwinan yang ditunggu-tunggukan, setiap peringkat dilaksanakan dengan penuh teliti bagi memastikan hanya yang terbaik untuk pasangan βRaja Sehariβ.
Majlis perkahwinan Melayu kebiasaannya diadakan secara besar-besaran. Mewah, meriah dan kadang-kala berterusan sehingga beberapa hari mengikut tradisi keluarga masing-masing. Jika anda sedang dalam proses persiapan untuk hari bahagia anda atau merancang untuk menghadiri majlis perkahwinan keluarga atau rakan, di sini kami telah menyediakan semua informasi yang perlu anda tahu tentang majlis perkahwinan Melayu.
MERISIK & MEMINANG
Merisik ataupun βmenengokβ, kebiasaannya akan dilakukan oleh keluarga pihak lelaki untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang latar belakang pihak wanita serta menyiasat samada wanita tersebut boleh dikahwini atau tidak. Dalam agama Islam, haram bagi seorang lelaki untuk melamar wanita yang sudah pun bertunang atau dijanjikan untuk berkahwin dengan lelaki lain. Maka, dengan cara merisiklah masalah sedemikian dapat dielakkan.
Setelah kedua belah pihak keluarga lelaki perempuan bersetuju, maka tibalah masa untuk pinangan dari pihak lelaki terhadap bakal pengantin perempuan, dimana ketika ini tarikh dan waktu pertunangan mereka akan ditetapkan dan bilangan duit hantaran serta dulang hantaran turut dipersetujui. Pihak lelaki juga akan memberikan pihak perempuan sebentuk cincin sebagai cincin tanda untuk menjanjikan hubungan kedua bakal pengantin yang bakal melangsungkan pernikahan.
Kini, merisik dan meminang selalunya akan dilakukan sekaligus kerana peringkat merisik semakin diabaikan oleh generasi kini. Tidak seperti dahulu dimana pihak lelaki dan perempuan jarang menjalinkan hubungan sebelum berkahwin, masyarakat zaman sekarang lebih terbuka dalam menerima konsep bercinta sebelum bernikah.
ADAT BERTUNANG
Majlis pertunangan selalunya akan dilakukan secara meriah. Keluarga pihak perempuan selalunya akan menyediakan kenduri untuk menjamu pihak lelaki yang datang ke rumah mereka, membawa bersama dulang-dulang hantaran yang kemudian akan ditukarkan dengan hantaran dari pihak perempuan.
Agenda utama bagi majlis pertunangan ialah apabila ibu atau ahli keluarga wanita kepada bakal pengantin lelaki menyarungkan cincin tanda, kebiasaannya cincin belah rotan di jari manis kanan pengantin perempuan. Cincin belah rotan emas merupakan pilihan yang lazim sebagai cincin pertunangan kerana reka bentuknya yang ringkas, menjadikannya sesuai untuk dipakai harian selain jelas menunjukkan bahawa seseorang wanita itu telah pun dijanjikan untuk perkahwinan. Kini, terdapat pelbagai variasi reka bentuk cincin belah rotan bagi bakal pengantin yang mempunyai preferensi yang berbeza.
Selain cincin belah rotan, terdapat juga pilihan lain untuk pasangan yang lebih menyukai rekaan cincin yang moden. Cincin berlian juga kini semakin popular di kalangan bakal pengantin zaman sekarang, terutamanya bagi kaum Adam yang ingin memberikan kejutan kepada pasangannya. Reka bentuk cincin berlian, yang kebiasaannya menggunakan emas putih dan batu berlian berkualiti tinggi yang berkilauan semestinya menambat hati si penerima.
ADAT BERINAI
Malam berinai boleh dianggap sebagai versi melayu untuk βbachelorette partyβ yang sering diadakan di negara barat. Malam Berinai selalunya diadakan secara kecil-kecilan, dan sering melibatkan hanya keluarga serta rakan-rakan terdekat bakal pengantin perempuan. Lazimnya, majlis yang akrab ini akan diadakan pada malam sebelum majlis pernikahan, dengan tujuan utama ialah bagi menaikkan seri pengantin wanita dengan menggunakan inai yang menghiasi jari-jemari serta tangannya.
Walaupun majlis ini bukanlah suatu kewajipan dalam adat perkahwinan, tetapi malam berinai kini semakin digemari oleh bakal pengantin, kerana ianya dianggap sebagai detik-detik terakhirnya meluangkan masa bersama keluarga dan sahabat yang tersayang sebelum menamatkan zaman bujang, dan akhirnya bergelar sebagai seorang isteri. Kebiasaannya juga, bakal pengantin akan memberikan hadiah kepada rakan-rakan dan keluarga sebagai tanda penghargaan kerana hadir untuk membantu dan memeriahkan majlis.
AKAD NIKAH
Kini tibalah saat yang ditunggukan setelah sekian lama, hari bahagia pasangan mempelai apabila berlangsungnya Majlis Pernikahan.
Majlis Akad Nikah merupakan perkara yang paling penting dalam sesuatu perkahwinan, kerana ketika inilah sepasang lelaki dan perempuan itu disahkan sebagai suami dan isteri. Diketuai seorang Wali, kebiasaanya bapa kandung pengantin perempuan, majlis pernikahan dilakukan dalam kehadiran seorang Kadi dan sekurang-kurangnya dua orang saksi bagi memastikan pernikahan tersebut ialah sah dan mengikut syarak.
Pengantin perempuan akan dipanggil oleh Kadi untuk memberikan persetujuannya bagi perkahwinan tersebut dan majlis akan diteruskan apabila persetujuan telah diberi olehnya. Kadi kemudian akan memberikan khutbah berkenaan perkahwinan berdasarkan rukun Islam, yang termasuk peringatan buat pengantin lelaki tentang tanggungjawabnya sebagai seorang suami. Seterusnya, pengantin lelaki akan menandatangani sijil perkahwinan and membaca angkat sumpahnya sebagai seorang suami. Setelah Mas Kahwin diserahkan kepada pengantin perempuan maka barulah mereka benar-benar bergelar sebagai suami dan isteri.
Mengikut adat melayu, kedua belah pihak lelaki dan perempuan perlu bertukar hantaran, yang terdiri daripada pelbagai item termasuk makanan, pakaian atau barangan mewah yang lain mengikut kemampuan dan bilangan yang telah dipersutujui kedua belah pihak, kebiasaanya dalam bilangan ganjil.
Setelah berakhirnya majlis akad nikah, upacara batal air sembahyang akan dilakukan, dimana pengantin lelaki akan samada menyarungkan cincin atau memakaikan rantai tangan ke atas tangan pengantin perempuan sebelum mencium dahinya bagi membatalkan wuduβ si isteri, justeru melambangkan langkah pertama mereka ke arah kehidupan perkahwinan.
SUMBER : https://www.habibjewels.com/perkahwinan-melayu-